Kehidupan awal Nikola_Tesla

Rumah kelahiran Nikola Tesla dan patung peringatan beliau di Smiljan, Croatia
Nikola Tesla pada umur 23, 1873 dan paspot beliau pada 1883

Nikola Tesla lahir di dalam keluarga Serbia di kampung Smiljan, Empayar Austria berhampiran dengan bandar Gospić, di dalam wilayah yang kininya Croatia. Di dalam sijil pembaptisan beliau melaporkan tarikh lahir beliau ialah pada 10 Julai 1856 dan merupakan anak kepada Father Milutin Tesla, paderi Gereja Ortodoks Serbia. Ibu beliau, Đuka adalah anak kepada paderi Gereja Ortodoks Serbia. Beliau berbakat dalam hasil kerja tangan di rumah dan berkebolehan menghafal sajak-sajak epik bahasa Serbia namun beliau tidak pernah belajar membaca.

Anak keempat dari 5 adik beradik, Nikola belajar di Higher Real Gymnasium, Karlovac semasa keluarga beliau berpindah ke Gospić pada tahun 1862.[1]

Pada tahun 1875, beliau meneruskan pengajian kejuruteraan elektrik di Politeknik Austria (Technische Universität Graz) di Graz. Semasa menuntut di sana, beliau mempelajari penggunaan arus ulang-alik. Dalam bulan Disember 1878, beliau meninggalkan Graz dan memutuskan hubungan dengan keluarganya. Kehilangan beliau pada awalnya disangka oleh rakan-rakan terdekat beliau oleh kerana mati lemas di sungai Mur. Beliau pergi ke Marburg (kini dikenali sebagai Maribor di Slovenia), di mana beliau telah bekerja sebagai pembantu jurutera selama setahun. Dalam masa yang sama, beliau sedang menderita tekanan jiwa. Tidak lama kemudian, bapa beliau telah memujuk beliau untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Charles-Ferdinand (Karls-Universität zu Prag) di Prague. Pada musim panas 1880, beliau memulakan pengajian dan semasa tempoh pengajiannya beliau banyak dipengaruhi oleh Ernst Mach. Bagaimanapun, selepas bapanya meninggal dunia, beliau menamatkan pengajian beliau dan hanya sempat pada penggal pertama sahaja.[2]

Pada kebanyakan masa, beliau banyak meluangkan masa membaca laporan kerja-kerja saintifik serta menyelidiki keseluruhan isi buku-buku. Beliau mampu melakukannya kerana mempunyai kelebihan memori fotografi.[3] Beliau menceritakannya kebolehannya di dalam buku autobiografi beliau. Pada masa yang sama, beliau sering mengalami gangguan mental dari masa ke semasa. Namun, gangguan sedemikian memberikan kelebihan kepada beliau dalam memberikan gambaran mengenai hasil kajiannya dengan lebih jelas sebelum memindahkannya ke atas kertas kerja. Beliau mengalami masalah gangguan mental semenjak beliau masih kanak-kanak lagi.[3]

Bermula 1880, beliau berpindah ke Budapest untuk bekerja dengan sebuah syarikat telegraf[4], dibawah tunjuk ajar dari Tivadar Puskás. Di sana, beliau telah bertemu dengan Nebojša Petrović, seorang pereka muda berketurunan Serbia yang tinggal di Austria. Walaupun pertemuan mereka hanya sekejap, mereka berdua masih sempat bekerjasama dalam sebuah projek membangunkan kuasa selanjar dengan menggunakan turbin berkembar. Menjelang pembukaan ibu sawat telefon di Budapest pada tahun 1881, Nikola Tesla telah menjawat sebagai ketua juruelektrik syarikat tempat beliau bekerja serta kemudiannya muncul sebagai jurutera pertama negara. Beliau juga telah mencipta peranti yang berfungsi sebagai pengulang atau penguat untuk digunakan dalam sistem talian telefon untuk mendapatkan komunikasi yang lebih berkesan.[5]

Lukisan dari Paten U.S. 381968, menggambarkan tentang prinsip rekaan motor arus ulang alik


Perancis dan Amerika Syarikat

Pada tahun 1882, beliau telah berpindah ke Paris untuk bekerja sebagai jurutera dengan syarikat Continental Edison, syarikat yang dibentuk memperbaiki mutu rekabentuk peralatan elektrik berdasarkan idea rekabentuk Thomas Edison. Berdasarkan catatan autobiografi beliau, ketika di sana beliau menyempurnakan idea terhadap rekaan konsep motor aruhan dan mula membangunkan pelbagai alatan yang menggunakan putaran medan magnet, di mana beliau telah berjaya mempatenkan pada tahun 1888.

Tidak berapa lama selepas itu, ibu beliau pula telah meninggal dunia.[6] Akibat daripada kematian bondanya, Nikola Tesla telah jatuh sakit. Beliau menghabiskan masa selama dua hingga tiga minggu untuk menenangkan jiwanya di Gospić di samping menziarahi kampung halaman ibu beliau di Tomingaj berhampiran Gračac.

Pada 6 Jun 1884, Nikola Tesla telah menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat di bandar New York buat pertama kalinya [7] dengan hampir sehelai sepinggang dan disertakan bersama surat pengesyoran dari Charles Batchelor, majikan beliau yang terdahulu. Di dalam surat pengesyoran kepada Thomas Edison, Encik Batchelor menulis, 'Saya mengetahui terdapat dua manusia yang hebat dan salah seorang daripadanya adalah anda; manakala seorang lagi adalah orang muda ini,' bagaimanapun isi kandungan surat ini telah disanggah oleh McNichol di dalam bukunya. Edison menggaji Tesla bekerja di dalam syarikatnya, Edison Machine Works. Kerjaya Tesla bermula dengan menyelesaikan masalah kejuruteraan elektrik yang mudah dan kemudiannya dengan pintar dan pantas telah berjaya menyelesaikan masalah kejuruteraan yang paling sukar di dalam syarikat. Tesla juga turut diberikan tugas untuk memperbaiki rekabentuk penjana arus terus keluaran syarikat Edison.[8]

Tesla mendakwa beliau telah ditawarkan USD50,000 jika berjaya memperbaiki reka bentuk motor dan penjana buatan Edison supaya menjadi lebih cekap.[9] Pada tahun 1885, apabila Tesla menuntut bayaran yang telah dijanjikan, Edison menjawab, 'Tesla, kamu tidak faham jenaka orang Amerika,' secara tidak langsung memungkiri janji Edison ke atas Tesla.[10][11] Dengan pendapatan hanya USD18 seminggu, beliau perlu bekerja selama 53 tahun untuk mendapatkan jumlah ganjaran seperti yang telah dijanjikan. Tawaran tersebut boleh digunakan sebagai modal permulaan membuka syarikat baru. Beliau meletakkan jawatan setelah permintaan beliau untuk kenaikan gaji kepada USD25 seminggu ditolak.[12]

Semasa tempoh yang singkat di syarikat Edison, Tesla mendapati dirinya telah berjaya mendapat asas yang kukuh untuk bertapak dan selepas perletakan jawatannya telah memberikan ruang kepada beliau untuk menumpukan terhadap kajian mengenai sistem polifasa arus ulang alik.[13]

Rujukan

WikiPedia: Nikola_Tesla http://books.google.com/?id=-cHJQL8qCEMC&printsec=... http://books.google.com/?id=3W6_h6XG6VAC&printsec=... http://books.google.com/?id=BKX5UYWzVyQC&printsec=... http://books.google.com/?id=Jx4CAAAAYAAJ&vq=tesla http://books.google.com/?id=P0CSxB2aHMcC&printsec=... http://books.google.com/?id=XKiGgl36bkgC http://books.google.com/?id=bUo7vYNkbKQC http://books.google.com/?id=f6oLAAAAIAAJ&pg=PA261&... http://books.google.com/?id=h2DTNDFcC14C http://books.google.com/?id=rwekkS3oD0EC&printsec=...